Rabu, 16 Jun 2010
MOHD ANSHARI MOHD RAHIZAN
GAYA penceritaan artis komik ini mirip dengan yang dilihat dalam drama atau filem. Apatah lagi, sudut lukisannya banyak menggunakan teknik camera shot. Jadi, tidak hairanlah, teknik yang digunakan artis komik, Mohd Anshari Mohd Rahizan, 30, sedikit sebanyak menjadikan karyanya berbeza. Mungkin minat dan pembabitan Anshari dalam kerja kreatif bersama produksi drama dan filem, sedikit sebanyak mempengaruhi cara beliau melukis komik. Tidak ada janggalnya, kata Anshari.
Kerja seseorang kartunis atau artis komik sama seperti pengarah drama atau filem yang perlu mengatur bagaimana watak dan babak dapat menyampaikan jalan cerita.
Anshari berkata, pembabitannya secara serius sebagai artis komik bermula kira-kira enam tahun lalu. Masih menuntut di universiti ketika itu, Anshari membuat keputusan tidak menamatkan pengajiannya kerana melihat bidang komik dan animasi mempunyai masa depan yang cerah. Beliau sanggup meninggalkan pengajian dalam bidang seni bina. Tambah Anshari, langkah itu bukan disebabkan beliau tidak berminat dengan jurusan seni bina, sebaliknya tarikan melukis komik cukup kuat. Malah, sambil belajar, beliau menyumbang karya bersiri berjudul Kabil kepada majalah humor Gila-Gila.Ketika itu.
Anshari berkata, pembabitannya secara serius sebagai artis komik bermula kira-kira enam tahun lalu. Masih menuntut di universiti ketika itu, Anshari membuat keputusan tidak menamatkan pengajiannya kerana melihat bidang komik dan animasi mempunyai masa depan yang cerah. Beliau sanggup meninggalkan pengajian dalam bidang seni bina. Tambah Anshari, langkah itu bukan disebabkan beliau tidak berminat dengan jurusan seni bina, sebaliknya tarikan melukis komik cukup kuat. Malah, sambil belajar, beliau menyumbang karya bersiri berjudul Kabil kepada majalah humor Gila-Gila.Ketika itu.
Anshari menggunakan pengalaman sebagai penuntut universiti bagi menjana idea bagi siri itu yang bertahan selama setahun setengah.Tidak hanya berbakat dalam lukisan komik, Anshari juga mahir menulis skrip dan jalan cerita untuk drama. Disebabkan kebolehan itu, dua komik terbitan PTS Millennia Sdn Bhd, Lukisan Hati dan Budak Takraw yang dihasilkan Anshari juga menggunakan konsep drama.Lebih membanggakan, Lukisan Hati sekarang diterbitkan dalam bentuk DVD dan bakal dilancarkan, tidak lama lagi. Watak dalam drama itu dilakonkan artis muda seperti Faralyna Idris, Shafiq Bakhri dan Zaris Uqasha.
Ikuti temubual Di Sebalik Nama bersama Anshari:
Apa proses kerja yang anda amalkan dalam berkarya dan mengapa anda memilih cara begitu?
Setiap kali menghasilkan komik, saya akan hasilkan jalan cerita, huraian watak dan skripnya terlebih dulu. Apabila skrip sudah siap, barulah saya akan memulakan proses melukis.Dengan cara ini, saya dapat mengawal jalan cerita sesebuah komik sejak awal lagi. Secara tidak langsung, ia mengelak daripada kehilangan idea di separuh jalan. Bagi mereka yang meminati drama, mereka mungkin akan sukakan komik berkonsep drama seperti yang saya hasilkan ini.
Apa perasaan anda apabila karya anda, Lukisan Hati diadaptasi dalam bentuk drama DVD?
Melihatkan sebuah drama diadaptasi daripada komik yang kita hasilkan, tentulah terbit rasa bangga dan teruja. Ia diibaratkan sebagai suatu penghargaan untuk hasil karya saya.Setakat ini, tidak banyak karya kartun atau komik yang diadaptasi ke drama ataupun filem. Antara yang pernah dihasilkan dalam bentuk animasi dan drama adalah karya Datuk Lat, iaitu Kampung Boy dan Aku Budak Minang yang dihasilkan kartunis Ujang.Komik Lukisan Hati itu sendiri sudah mempunyai peminatnya tersendiri. Jadi ia mempunyai potensi untuk menarik minat orang ramai menontonnya.
Bagaimana anda memperoleh idea untuk menghasilkan Lukisan Hati?
Lukisan Hati berkisar cinta remaja kolej yang sarat dengan drama. Idea untuk jalan cerita ini bermula dengan penciptaan watak utamanya yang saya hasilkan melalui huraian zodiak tertentu.Pengisian ceritanya pula lahir daripada imaginasi saya. Kisah cinta remaja yang saya tampilkan ini agak berbeza kerana ia membabitkan penuntut jurusan seni di sebuah kolej seni.
Siapa golongan pembaca sasaran anda dan apakah mesej yang cuba disampaikan melalui karya anda?
Dengan kisah cinta remaja begini, pembaca sasaran saya adalah golongan remaja. Biarpun secara dasarnya ia kelihatan seperti sebuah bacaan ringan, ia sebenarnya mempunyai mesej yang dapat dimanfaatkan pembaca remaja.Dalam watak yang dipaparkan dalam komik ini misalnya, mereka sedang dalam pencarian identiti berserta konflik yang dihadapi dalam titian perjalanan dari zaman remaja ke alam dewasa. Lukisan Hati memaparkan bagaimana mereka menghadapi cabaran dalam menguruskan kehidupan sebagai penuntut dan peribadi.
Bagaimana anda menentukan bentuk pengisian yang ingin ditampilkan dalam karya?
Untuk karya Lukisan Hati, saya tahu majoriti pembacanya adalah wanita. Manakala untuk karya Budak Takraw, majoriti pembacanya adalah lelaki di peringkat sekolah menengah.Pembaca wanita biasanya lebih suka membaca karya berunsur drama kehidupan dan percintaan. Jadi, saya banyak membuat rujukan dengan menonton siri drama yang mendapat sambutan tinggi di kalangan penonton wanita. Elemen emosi banyak dimainkan dalam Lukisan Hati manakala dalam Budak Takraw, semangat sukan berpasukan serta aksi lebih ditonjolkan.
Mengapa anda memilih sukan takraw sebagai sukan yang ingin ditampilkan dalam karya?
Saya memilih sukan takraw sebagai sukan yang ditampilkan dalam karya saya sebagai cara untuk mempromosikan sukan ini di peringkat tempatan dan antarabangsa, jika komik ini berjaya menembusi pasaran luar.Lagipun, Malaysia mempunyai pasukan takraw yang hebat untuk dibanggakan. Melukis pergerakan lincah pemain takraw juga begitu menyeronokkan serta memberi cabaran dan kepuasan kepada saya.
Apakah cabaran yang dihadapi dalam menghasilkan kedua-dua karya ini?
Antara cabaran yang dihadapi dalam menghasilkan karya komik ini adalah pembahagian masa antara berkarya dengan pembabitan saya dalam kerja produksi drama dan filem tempatan.Seperti yang diketahui, kerja belakang tabir produksi ini waktunya tidak menentu. Jadi, masa untuk menghasilkan karya agak terbatas sedangkan deadline perlu dipatuhi. Apapun, saya bersyukur kerana dapat saya menyiapkan karya ini mengikut waktu yang ditetapkan.
Untuk mengikuti perkembangan pelukis komik ini anda boleh layari http://bkuncasart.blogspot.com/
Langgan:
Catatan (Atom)