Sabtu, 2009 September 05

ZAINAL BUANG HUSSEIN

Siri lukisan kartun seperti Kutu, Wak Punk, Tong Kosong serta novel berjudul Debu-debu Kasih, Gelombang, Kasanova dan Serakah cukup sinonim dengan jnsan seni bernama Zainal Buang Hussein. Karya Zainal - baik novel, kartun atau lukisan cukup diminati ramai. Malah sebahagian besar peminat kartunis ini masih setia mengikuti perkembangan Zainal biarpun beliau tidak seaktif dulu.

Watak Wak Punk karya Zainal Buang Hussein

Ketika ditemui XY - Ikon Lelaki, Zainal berkata, aktiviti seninya ketika ini banyak tertumpu kepada lukisan. Kata Zainal, sepanjang perjalanan dalam bidang seni yang diceburinya sejak bangku sekolah, beliau sering bereksperimen dengan bakat seni yang dimilikinya. Disebabkan itulah, karyanya tidak terbatas kepada seni visual seperti ilustrasi, kartun dan lukisan semata-mata sebaliknya diperluaskan kepada penulisan novel.


Cerita Zainal, sejak di bangku sekolah lagi minatnya cenderung ke bidang seni. Mengimbau kenangan pada 'fasa permulaannya', Zainal berkongsi rahsia, tempat pertama yang dijadikan 'galeri' lukisannya ialah reban ayam di sebelah rumah. Di situlah Zainal menggantung dan mempamerkan semua lukisan yang dihasilkannya.


Zainal yang sudah hampir 40 tahun bergelumang dalam bidang seni, berkongsi faktor membuka matanya untuk menjadikan seni sebagai profesion. "Ketika belajar di sebuah sekolah berasrama penuh di Jitra, Kedah, saya terbaca sebuah buku yang menghimpunkan koleksi lukisan pelukis tersohor Indonesia yang dimiliki bekas Presiden Indonesia, Soekarno serta buku yang mengisahkan mengenai Picasso dan Rembrandt.


"Saya tidak pernah terfikir, seorang pelukis boleh berjaya, diminati dan disanjung hingga tahap begitu. Dari situlah terdetik hati saya untuk lebih serius dalam bidang ini," katanya. Selepas tamat sekolah, beliau sempat menimba pengalaman sebagai pengilustrasi di beberapa syarikat sebelum berkhidmat dengan Creative Entreprise Sdn Bhd (CESB).


Di bawah CESB, beliau bersama pelukis seperti Jaafar Taib dan Azman Yusof menjadi pelopor penerbitan majalah lawak Gila-Gila. Pembabitan mereka menyemarakkan lagi industri seni kartun tempatan yang sebelum itu dipelopori kartunis lebih senior seperti Rejabhad dan Datuk Lat. Zainal masih ingat, kulit muka depan majalah Gila-Gila pertama yang dihasilkannya. Beliau menampilkan karikatur pelakon yang sedang popular ketika itu, iaitu AR Badul yang muncul dengan filem baru.


Selain karikatur pelakon itu, Zainal turut menyelit lukisan kereta dalam lakaran berkenaan. Imej kereta dan motosikal sering menghiasi lukisan kartun yang dihasilkan beliau, bagai sudah menjadi identiti karya kartunnya. Mengapa beliau memilih kereta dan motosikal?


Apa lagi cerita menarik mengenai Zainal yang belum anda ketahui? Kolum Di Sebalik Nama berbicara lebih lanjut dengan insan kreatif ini...


Kenapa anda memilih subjek kereta dan motosikal pada siri kartun anda?


Saya begitu berminat dengan kereta dan motosikal terutama dalam aspek rekaannya. Ketika hendak memulakan Gila-Gila dulu, Jaafar sudah pun ada identiti kartunnya iaitu haiwan dan alam semula jadi. Manakala Azman Yusof pula dengan watak kartun wanita cantik. Kedua-dua mereka mempunyai strok lukisan yang mantap. Untuk menampilkan sesuatu yang berlainan daripada mereka, saya memilih mengenengahkan kereta dan motosikal.

Bagaimana anda memperoleh ilham dalam berkarya?


Kita sebenarnya tidak boleh menanti hingga ilham datang kerana ilham sebegitu boleh datang dan pergi begitu saja. Kita harus memaksa ilham untuk datang. Biasanya faktor luar seperti deadline dan tekanan di sekeliling juga kadangkala boleh memaksa idea untuk muncul. Pernah sebelum ini, ketika memegang jawatan penting dalam CESB yang menuntut saya melaksanakan pelbagai kerja, saya masih lagi dapat menyiapkan kartun dan menulis novel dengan ilham yang mencurah-curah.


Ada atau tidak ilham yang lahir daripada rasa marah ataupun tidak puas hati diri sendiri?


Ada juga. Pada saya, ilham begitu lebih bagus. sekurang-kurangnya perasaan seperti itu dapat diluahkan dalam bentuk karya kreatif. Kalau diamati, karya novel saya dari dulu hingga yang terbaru ini banyak yang mempunyai unsur seperti ini. Sejak remaja lagi, saya suka membaca novel. Saya sukakannya kerana bagi saya, novel merakam sejarah. Pembaca novel dapat masuk ke dalam latar masa cerita yang dihasilkan novelis dan menyelami kisah dan imaginasi mereka.


Jika tidak menjadi pelukis, novelis atau kartunis, apa agaknya pekerjaan yang anda lakukan?


Maklumlah, dulu bukannya ada pilihan sangat dalam bidang pekerjaan. Selepas tamat sekolah, saya ada menerima tawaran untuk menyertai pegawai kadet tentera. Tidak pasti sama ada untuk menerimanya atau meneruskan cita-cita mencari pekerjaan dalam bidang seni, saya merujuk kepada rakan saya yang sedang berkhidmat dengan angkatan tentera ketika itu. Beliau katakan kepada saya, tidak perlulah masuk tentera kerana saya mempunyai bakat dalam bidang seni dan lebih baik saya teruskan saja cita-cita saya dalam bidang ini. Katanya, takut kalau-kalau saya bosan dengan latihan ketenteraan yang perlu dijalani.


Anda dikenali sebagai pelukis yang teliti. Bagaimana anda menjaga ketelitian dalam berkarya?


Untuk menjadi seorang yang teliti dalam berkarya, ia memerlukan masa dan diasah menerusi latihan dan pengalaman. Bercakap mengenai ketelitian, saya masih ingat lagi, pelanggan saya, seorang individu korporat yang meminta saya melukis potret beliau dan keluarganya sebelum ini. Beliau hanya mengambil lukisan berkenaan selepas 25 kali saya tunjukkan kepadanya dan setiap kali ditunjuk, ada saja yang tidak kena pada pandangannya. Ini menunjukkan, soal ketelitian juga banyak menerima pengaruh daripada faktor keadaan dan permintaan terhadap sesuatu karya yang dihasilkan itu.


Ada sebarang kenangan, kritikan atau pengalaman yang tidak dapat dilupakan sepanjang perjalanan karier dalam bidang ini?


Satu kenangan yang agak menyedihkan pernah saya lalui ketika mewakili negara ke Jepun dalam suatu program usaha sama antara kerajaan Malaysia dengan negara Jepun. Apabila terpilih, seperti biasalah, mesti ada rasa bangga dalam diri kerana dipanggil untuk mewakili negara. Jadi, apabila berjumpa dengan penganjur pihak Jepun di sana, saya hadiahkan beberapa karya saya kepada mereka sebagai cenderahati dari Malaysia. Apa yang menyedihkan, keesokan pagi, saya ternampak lukisan saya itu diletakkan di tepi dinding begitu saja. Kemudian ia dipungut pekerja pembersihan untuk dibuang ke dalam tong sampah. Saya akui, insiden membuatkan saya cukup sedih. Tapi pada saya, apa yang penting saya sudah berikannya dengan ikhlas. Terpulanglah bagaimana orang yang menerima itu hendak menghargainya.


Apa pandangan anda mengenai hala tuju kartunis dan industri kartun masa kini?


Industri kita sememangnya sudah berkembang. Ini dapat dilihat daripada pengukuhan pelbagai watak kartun yang masih menjadi perhatian penggemarnya, biarpun dari segi penjualan majalah lawak sudah menurun. Negara kita mempunyai ramai kartunis berbakat yang memiliki hidden asset masing-masing. Itu yang perlu kita jana dengan cara pemasaran dan medium yang betul serta berkesan. Selain itu, industri seni tempatan juga amat memerlukan masyarakat untuk memberi sokongan penghargaan yang sewajarnya supaya industri ini dapat dibawa ke tahap yang lebih tinggi seperti industri luar. Jika tidak, sampai bila-bila pun bakat seni kartunis atau pelukis atau penggiat seni yang ada dalam negara kita serta industri ini akan berada di tahap sama.

Selasa, 2009 Ogos 25

GEDUNG KARTUN VOL.1 DI PASARAN

Majalah komik GEDUNG KARTUN susunan kartunis Zunar menjengah di pasaran tiga hari lepas. Ramai kartunis yang menyumbangkan karya dalam majalah ini termasuk penyair terkenal Pyan Habib melalui ruangan pojoknya. Majalah ini penuh dengan idea-idea sinis terutamanya mengenai isu-isu panas semasa dan politik semasa tanahanir.
Khabarnya baru tiga hari di pasaran, pegawai KDN telah membuat rampasan di beberapa tempat kerana kandungan GK yang banyak menyindir kepimpinan Perdana Menteri.

Jumaat, 2009 Julai 31

ROTTWORLD MENJENGAH PASARAN

Majalah komik bersiri  Rottworld kini berada di pasaran. Dengan dibarisi pelukis-pelukis komik baru mereka berani tampil memeriahkan industri penerbitan khususnya penerbitan komik di Malaysia. Syabas diucapkan.

BARA



Jumaat, 2009 Jun 19

RIZALMAN MASIH AKTIF MELUKIS

Rizalman nama pena Mohamad Razali Othman telah mencipta nama sebagai pelukis komik sejak 1970-an lagi. Dibawah syarikatnya Raz Studio beliau popular dengan majalah bulanan kanak-kanak No.1 pada masa itu iaitu BUJAL.

Disamping itu beliau menerbitkan majalah SALINA yang mensasarkan pembaca remaja. Beliau masih aktif melukis hingga hari ini. Siri komik beliau Aimie Amiera boleh anda tatapi dalam slot komik akhbar Utusan Malaysia.


FUDZALLI DARMO

Era 1980-an antara pelukis yang produktif menghasilkan komik ialah Fudzalli Darmo. Komik pesara guru dari Bagan Datoh Perak ini banyak diterbitkan oleh Berjaya Enterprise. Selepas itu beliau telah menubuhkan syarikat penerbitannya sendiri, Alwani Enterprise. Kualiti komik terbitan syarikat Alwani Enterprise sentiasa kemas dengan hiasan ilustrasi kulit oleh Sailawati @ Alias Kulup.
Diantara judul karya beliau ialah Seruling Sakti, Istana Di Rimba dan Darah Zina. Dibawah syarikatnya beliau berjaya mengetengahkan bakat baru seperti Abas Jaafar dan Hadie Zakaria.

Rabu, 2009 Jun 17

ZAHARUDDIN SARBINI

Antara karya-karya komik klasik beliau ialah Merong Mahawangsa, Raja Bersiong, Dang Anum, Tun Fatimah dan banyak lagi.

Karya Zaharuddin yang diterbitkan CESB