Selasa, 26 Januari 2010

JAAFAR TAIB : DI SEBALIK NAMA

Jaafar Taib menunjukkan hasil karyanya

Pelopor industri kreatif 'belajar sendiri' demi ukir nama SENTIASA meningkatkan kemahiran dan mencuba perkara sukar menjadi antara faktor yang mendorong nama Jaafar Taib terus relevan dalam industri kreatif tempatan. Kartunis berkaliber ini mengakui, bukan mudah untuk terus kekal pada tahap sekarang. Namun, dek cintanya terhadap bidang seni yang sudah sebati dalam diri, Jaafar tidak membenarkan biar apapun membataskan langkahnya.
.
Kata Jaafar, beliau tidak gemar menjadikan faktor luaran seperti persekitaran dan keterbatasan masa mengehadkan aktivitinya dalam berkarya. "Bagi saya, jika kita betul-betul mahu yang terbaik, kita pasti akan melaksanakannya biarpun ia sukar," katanya detik pertemuan bersama XY - Ikon Lelaki. Jaafar sudah sudah lebih 30 tahun bergelumang dalam dunia kartun, ilustrasi, lukisan dan fotografi. Jaafar juga berpendirian, kartunis perlu menjadikan karya mereka sebagai medium melunaskan tanggungjawab sosial kepada masyarakat. Ini penting bagi menyalurkan ilmu dan maklumat berguna melalui kaedah simple tetapi mudah menarik perhatian.
.
"Melalui kartun kita boleh menyemai semangat patriotisme, jati diri serta nilai murni lain. Bidang ini bukanlah humor semata-mata tetapi lebih daripada itu," katanya. Terbaru, Jaafar menerbitkan buku cerita ilustrasi berjudul Damai, Kegigihan Mencari Kedamaian. Buku ini mengisahkan pengembaraan seekor anak gajah bernama Damai. Anak gajah ini berhijrah dari tempat asalnya di Rompin ke lokasi lebih selamat untuk habitatnya, Taman Negara Pahang. Sepanjang perjalanan itu, pelbagai kisah disaksikan Damai. Apa yang menarik, pelbagai elemen kebudayaan tempatan diselitkan dalam penceritaan ini. Selami perjalanan karier seni Jaafar dalam temu bual ini...
.
Bagaimana anda boleh terbabit dalam bidang seni?
.
Pembabitan saya dalam bidang seni boleh dikatakan bertitik-tolak daripada penghijrahan ke Kuala Lumpur sekitar 1978. Lahir dalam keluarga yang kedua ibu bapa berpisah, membuatkan saya cepat matang dan berdikari... Penghijrahan ke Kuala Lumpur ini boleh dikatakan sebagai 'membawa diri' jugalah. Minat untuk jadi pelukis sudah wujud sejak kecil biarpun tidak mendapat galakan guru-guru. Guru kebanyakkannya mempunyai persepsi bahawa bidang seni tidak penting.
.
Tetapi, saya tetap dengan pendirian dan yakin dengan bidang ini. Lalu saya terus mengejar cita-cita ini. Bagi saya, seni sama penting dengan sains. Sebagai contoh, jika orang kata penciptaan pesawat memerlukan ilmu sains, seni pula penting dalam menentukan bentuk dan rekaannya. Begitu juga dalam penghasilan tekstil, sentuhan rekaan seorang pereka fesyen jugalah yang menjadi 'selling point' walaupun penghasilan tekstil itu memerlukan sains dan teknologi (S&T). Di Kuala Lumpur, saya banyak menghabiskan masa dengan rakan pelukis di Benteng (Pasar Seni) dan berkarya di situ. Kemudian, saya bekerja di beberapa syarikat penerbitan sebagai pengilustrasi serta melukis komik secara sambilan sebelum berkhidmat dengan Creative Enterprise Sdn Bhd (CESB).
.
Majalah Gila-Gila dianggap trendsetter dalam penerbitan majalah humor di Malaysia. Apa perasaan anda menjadi sebahagian daripada mereka yang mempelopori industri ini?
.
Kemunculan Gila-Gila membawakan perubahan baru dalam masyarakat ketika itu. Gila-Gila menjadi wadah hiburan bagi masyarakat kerana tidak banyak pilihan hiburan lain. Selain itu, tiada pesaing lain dalam penerbitan majalah seumpama ini. Selepas Gila-Gila, barulah banyak majalah humor muncul di pasaran. Kemudian, datang pula lambakan komik dari luar negara yang memberi lebih banyak pilihan bacaan humor di Malaysia. Menjadi antara pelopor, bukan perasaan bangga yang timbul. Sebaliknya, rasa takut dengan harapan tinggi yang diberi orang ramai terhadap majalah Gila-Gila selain apa yang dilakukan kami, diperhatikan. Itu membuatkan kami sentiasa berhati-hati supaya tidak menghampakan pembaca yang meminati produk ini. Kami tidak pernah terfikir Gila-Gila akan menerima sambutan hebat. Kami cuma memberi apa yang terbaik yang boleh kami lakukan.
.
Berdasarkan pengalaman anda bidang ini, bagaimana agaknya perbezaan cara bekerja kartunis generasi dulu dan kartunis sekarang?
.
Dari segi suasana kerja yang agak santai, ia masih sama. Dalam soal tekanan pula, bukannya tidak ada. Tetapi zaman saya dulu, tekanan lebih kepada persaingan antara kartunis. Siapa yang lebih ramai pengikut atau lebih banyak mendapat surat dari peminat selain tanggungjawab menjaga kualiti karya. Kita sibuk dengan persaingan sesama sendiri. Tidak macam sekarang, rata-rata kartunis bersikap 'siapkan kerja cukuplah'. Selain itu, watak kartun yang dihasilkan kartunis generasi dulu mempunyai identiti sendiri dan bersifat tempatan. Ini boleh disifatkan kartun Malaysia yang sebenar.
.
Apabila kita melihat satu watak kartun saja, kita boleh kenal siapa kartunis yang melukisnya. Ini berbeza dengan kartunis sekarang yang banyak menerima pengaruh elemen kartun luar negara. Kartunis zaman dulu bukan sekadar melukis kartun semata-mata. Mereka juga membuat kajian - baik dari aspek teknikal hinggalah subjek penceritaan yang hendak diketengahkan dalam kartun mereka.
.
Seperti yang kita tahu, karya seseorang kartunis selalunya berunsur lawak jenaka. Adakah ini menunjukkan kartunis seorang yang berkarakter kelakar?
.
Tidak semestinya. Saya seorang yang serius. Datuk Lat juga seorang yang serius. Kelakar itu hanya pada cerita dan watak yang dihasilkan, berdasarkan apa yang lahir dalam pemikiran pada waktu itu. Maksudnya, sukarlah untuk anda menampilkan elemen jenaka dalam karya yang dihasilkan. Bagaimana anda mendapat ilham? Memang susah. Lebih senang membuat orang menangis daripada ketawa.
.
Ilham tidak datang tapi perlu dicari. Kadang-kadang ia datang daripada perjalanan seharian dan pemerhatian yang kuat. Disebabkan itulah seseorang kartunis harus mempunyai pengetahuan luas mengenai pelbagai perkara. Mereka juga perlu memiliki kekuatan intelektual supaya tidak menjadi cheapskate. Orang lain lukis kartun, kita lukis kartun, topiknya sama tapi hasilnya berbeza. Sukar juga untuk kita menampilkan sesuatu isu yang serius. Umpamanya, politik dan sosial dalam kartun. Kita perlu merubah gayanya kepada sindiran yang bijak dan mendalam tapi masih terkawal. Ini kerana sindiran ini ditujukan kepada orang yang bukan calang-calang kedudukannya.
.
Bagaimana kemahiran anda berkembang daripada lukisan kartun dan komik kepada fotografi dan lukisan?
.
Kemahiran itu datang serentak. Siang saya lukis komik, malamnya saya hasilkan lukisan. Begitulah cara saya belajar. Saya ini self-taught. Saya bukannya lulusan seni daripada mana-mana institusi. Dalam sehari, saya peruntukkan 16 jam untuk menghadap semua ini... Tidak kiralah komik, kartun atau lukisan. Mengapa karya anda lebih banyak tertumpu kepada subjek haiwan dan alam semula jadi? Salah satunya, ini disebabkan kelainan dalam subjek. Kebetulan, saya memang berminat dengan haiwan dan alam. Justeru, saya bangunkan ia menjadi identiti karya saya.
.
Karya saya seperti Jungle Joke dapat menarik minat pelbagai bangsa kerana ia tiada dialog. Pada saya, kartun begini lebih baik daripada kartun yang mempunyai dialog terutama kepada pembaca kanak-kanak. Ini kerana ia dapat menjana kreativiti pemikiran mereka dalam 'membaca' cerita yang dipaparkan.
.
Anda dilihat banyak bereksperimen dengan teknik dalam karya seni. Mengapa agaknya?
.
Saya sukakan cabaran. Benda yang orang lain tidak buat kerana susah, benda itulah yang akan saya buat. Untuk memantapkan lagi kemahiran, cuba buat yang susah. Dari situ, kita tahu kemampuan diri. Dalam menghasilkan karya seperti lukisan, buat yang terbaik. Janganlah faktor keuntungan daripada penjualan yang difikirkan. Intan, walaupun dalam lumpur ia akan tetap bernilai. Duit itu akan datang kemudian. Jika fikiran kita terlalu terbelenggu dengan soal duit, ia boleh membataskan seni kita. Jika ingin pergi jauh, sikap begini haruslah dikikis. Sebagai seorang artis, apakah tahap yang dianggap paling kemuncak dalam kerjaya seni? Kemuncaknya ialah apabila kita dapat menghasilkan dan menjual banyak buku karya kita. Ini suatu kepuasan dan menunjukkan penerimaan peminat terhadap karya kita.
.
Bagaimana pula anda berdepan dengan populariti?
.
Saya melaluinya seperti biasa. Dalam meniti dunia populariti, tersilap langkah akan kecundang. Ramai kartunis mengalami masalah ini. Ada antara kartunis merasakan kerjaya mereka sudah selesa. Mereka memikirkan cukup pada satu tahap saja selepas mengecap populariti. Oleh itu, mereka tidak menambah baik kerja mereka dan tidak membuat kajian mengenai apa yang lebih diminati peminat dari semasa ke semasa. Ini yang menyebabkan banyak kartunis yang ketika dulu terkenal, kemudian menyepi begitu saja.
.
Ada sebarang impian yang masih belum tercapai?
.
Masih banyak yang belum direalisasikan. Antaranya menjadikan karya saya dalam bentuk animasi dan menerbitkan buku 'coffee table' menghimpunkan ratusan lukisan spesis burung yang pernah saya hasilkan. Ketika ini, projek ini belum dapat dilaksanakan lagi. Ini kerana keadaan pasaran yang tidak meyakinkan. Selain itu, saya bercadang menerbitkan sambungan Damai.
PROFIL: Jaafar Taib
Asal : Alor Gajah, Melaka
Tarikh lahir : 28 Julai 1952
Umur : 57 tahun
Status : Berkahwin, Dikurniakan enam orang anak.
Hasil karya Jaafar Taib


Tiada ulasan:

Catat Ulasan